KUALA LUMPUR – Pesilat negara, Mohd. Faizul Nasir sedia memikul tanggungjawab selaku ‘penghulu’ dalam melaksanakan misi peribadinya melakar kejayaan meraih pingat emas hatrik pada Sukan SEA Filipina 2019, November ini.
Beraksi dalam Kelas B (50-55 kilogram), Faizul menjadi satu-satunya pesilat negara memenangi emas acara tanding dalam Sukan SEA Kuala Lumpu 2017 (KL2017), yang akan mempertahankan gelaran pada temasya dwitahunan itu kali ini.
Pengurangan jumlah kategori menyaksikan jaguh negara, Mohd. Al-Jufferi Jamari serta juara dunia 2018, Siti Rahmah Mohamed Nasir tidak akan mewakili negara selepas tuan rumah memutuskan untuk tidak mempertandingkan kategori Kelas E (65-70kg).
Namun, Mohd. Faizul mahu membuktikan ketiadaan jaguh negara tidak menghalang skuad silat kebangsaan daripada mencapai sasaran dua pingat emas diletakkan selain mengakui tumpuan utamanya adalah mempertahankan emas yang dimenangi sejak edisi 2015 di Singapura.
“Saya anggap ia sebagai cabaran. Kejayaan di Filipina bermakna ia menjadi kali ketiga berturut-turut jadi saya nak kejar impian hatrik itu. Ketiadaan bintang harapan seperti Al-Jufferi dan Siti Rahmah yang sedia maklum merupakan juara dan bekas juara dunia juga cabaran buat kami.
“Tetapi saya mahu ambil ia sebagai cabaran dan bersama-sama rakan yang lain untuk buktikan tanpa kelibat mereka, kita mampu meraih kejayaan seperti bersama mereka. Dengan persiapan rapi tidak mustahil sasaran dua pingat emas kita mampu capai,” katanya.
Dia yang merangkul pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 berkata, hanya persiapan rapi selain kajian mendalam mengenai dua pencabarnya – Nguyen Dinh Tuan (Vietnam) dan Abdul Malik (Indonesia) adalah dua elemen diperlukan menjelang temasya itu.
Beliau berkata persiapan rapi dari segi latihan dan prestasi puncak perlu diberikan keutamaan memandangkan mereka bakal berlepas ke China menghadapi Kejuaraan Asia seminggu selepas berakhir Sukan SEA.
“Jadual padat adalah perkara yang kami (pesilat) kena sanggup lalui kerana bila dipanggil atlet dan wira bermakna kita kena bersedia dalam apa jua keadaan. Bagi saya, strategi dan pengurusan persiapan dirangka itu perlu bernas,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata, pesilat sedia ada perlu membuktikan mereka masih relevan mewakili negara dengan berdepan barisan juara kebangsaan 2019 yang menjadi platform akhir pemilihan penuh skuad silat kebangsaan bagi penggal 2019-2021.
Sukan SEA Filipina akan berlangsung dari 30 November hingga 10 Disember ini. – BERNAMA











