KEPALA BATAS – Empat penunggang motosikal yang menunggang secara merbahaya menerima padah apabila kesemua mereka ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini hari ini.
Dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan pada pukul 1 pagi itu, keempat-empat mereka yang berusia antara 18 hingga 22 tahun didapati turut berani menunggang secara melawan arus tanpa memikir nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka
membuat pelbagai aksi berbahaya bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam dan kemudian membuat pusingan semula ke Plaza Tol Bagan Ajam (arah Sungai Dua).
“Tangkapan dibuat semasa kesemua penunggang terbabit berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Bagan Ajam.
“Kesemua mereka berjaya di tahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan salah seorang daripada mereka merupakan pelajar kolej,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy beberapa saman turut dikeluarkan terhadap mereka antaranya tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor plat hadapan dan kesalaham mengubah suai motorsikal. – UTUSAN ONLINE











