BESUT 13 Jun – Dua buah keluarga di Kampung Bukit Kenak dekat sini terkejut apabila rumah mereka digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter ketika bangun untuk membuat persiapan anak-anak ke sekolah pagi ini.
Mereka berasa agak pelik dan langsung tidak menyangka hujan lebat selama kira-kira 20 minit sekitar pukul 10 malam tadi itu menyebabkan air bertakung dan menenggelamkan kawasan rumah mereka.
Seorang mangsa, Roslee Mustafa, 37, berkata, dia sekeluarga masuk tidur kira-kira pukul 10 malam ketika hujan lebat dan bangun bersama isteri kira-kira pukul 4 pagi untuk menyiapkan keperluan tiga anaknya ke sekolah.
“ Sebaik saja masuk ke dapur saya terkejut apabila mendapati air memenuhi bahagian dapur rumah kami dan keadaan itu, kami terpaksa batalkan hasrat menghantar tiga anak ke sekolah, “ katanya di sini hari ini.
Menurutnya, banjir kilat itu turut menenggelamkan peralatan pertanian yang disimpan di bahagian dapur selain kereta milik jirannya.
Roslee menambah, sejak tinggal di situ, itu kali pertama kediaman mereka dilanda banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja melebar dan meninggikan tali air yang sedang dijalankan di belakang rumah mereka. – UTUSAN ONLINE










