LONDON – Manchester United melengkapkan perjanjian 17 juta pound (RM89 juta) mendapatkan pemain sayap Wales, Daniel James dari Swansea.
James bersetuju untuk mengikat kontrak selama lima tahun menerima gaji 67,000 pound (RM353,000) seminggu di Old Trafford dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh setahun lagi.
Pemain berusia 21 tahun itu menjadi pemain pertama yang dibeli oleh bos United, Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun James mengakui perpindahannya diselebungi rasa sedih selepas bapanya meninggal dunia pada bulan lalu ketika berusia 60 tahun.
“Ini merupakan salah satu hari terbaik dalam hidup saya dan cabaran yang bakal dihadapi membuatkan saya teruja. Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan liga terbaik di dunia dan Manchester Untied merupakan tempat terbaik untuk saya mengembangkan karier saya sebagai pemain.
“Ini merupakan detik paling membanggakan untuk saya dan keluarga bagaimanapun kesedihan masih dirasai apabila ayah saya tidak berkesempatan untuk menikmati pengalaman mengujakan ini.
“Saya teruja untuk bekerjasama dengan Ole, berjumpa pasukan dan memulakan tugas,” kata James.
Solskjaer menyambut ketibaan James dalam usahanya membangunkan semula United pada musim panas ini.
“Daniel pemain sayap muda mempunyai visi, skil serta etika kerja yang bagus. Dia beraksi dengan cemerlang bersama Swansea dan mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi pemain Manchester United.
“Kami berbesar hati dapat membawanya menyertai kelab kami dan kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan dia. Di sini ada persekitaran yang sempurna untuk Daniel mengembangkan bakatnya,” kata Solskjaer. – AGENSI










