Cita rasa Korea dalam pesawat - Utusan Malaysia

Cita rasa Korea dalam pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKANAN Korea kini menjadi kegemaran sebahagian rakyat Malaysia sejak tercetus­nya fenomena K-Pop terutama dalam ­kalangan remaja dan dewasa yang teruja dengan hidangan dari negara tersebut.

Kali ini anda juga berpeluang menikmati hidangan Korea dalam pesawat AirAsia. Dinamakan sempena ramuan utama yang digunakan dalam masakan, menu Santan AirAsia menawarkan pelbagai pilihan hidangan ASEAN, antarabangsa serta vegetarian dan salah satunya makanan Korea.

Hidangan itu dinamakan Ayam Pedas Manis Korea Cef Hong yang boleh didapati dalam menu Santan dalam semua penerbangan AirAsia. Ayam Pedas Manis Korea atau dalam bahasa Korea dikenali sebagai Dakgangjeong disajikan bersama nasi putih dan sayuran sekali gus memberi lebih banyak pilihan makanan kepada penumpang-penumpang penerbangan tambang murah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah pengenalan hidangan ini adalah sentuhan pertama daripada personaliti televisyen dan pengusaha restoran terkemuka Korea, Cef Hong Seok-Cheon bersama AirAsia yang pastinya mementingkan hidangan terbaik kepada penumpangnya ketika berada dalam pesawat.

Ketua Bahagian Inflight Kumpulan AirAsia, Catherine Goh berkata, menyajikan cita rasa rantau ini dengan nilai hebat menjadi sebahagian daripada tawaran perkhidmatan AirAsia.

“Melihat budaya dan warisan Korea yang kini semakin popular di seluruh dunia, Cef Hong menghasilkan hidangan kegemarannya ketika zaman kanak-kanak iaitu Dakgangjeong dengan sentuhan tersendiri. Makanan ini ditawarkan bagi membolehkan penumpang-penumpang yang berminat merasai pengalaman hidangan tersebut dalam pesawat.

“Hidangan Korea ini semakin popular dan sentiasa mendapat permintaan tetamu. Justeru kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Cef Hong Seok-Cheon dengan menawarkan hidangan Korea yang terbaik dalam penerbangan kami,” katanya.

Penumpang AirAsia disaran untuk membuat pratem­pahan kombo hidangan Dakgang­jeong yang ditawarkan dengan minuman percuma dengan hanya RM10 untuk penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 untuk penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7) ke semua destinasi AirAsia.

Pratempahan hidangan Santan boleh dibuat melalui pautan ‘Tempahan Saya’ di airasia.com untuk menikmati lebih penjimatan selain adanya kepelbagaian tawaran dan pilihan hidangan dalam pesawat.

Sementara itu, AirAsia turut menawarkan hidangan lain termasuk Nasi Lemak Pak Nasser , Ayam Teriyaki dengan Nasi, Nasi dan Aneka Sayur, Tauhu Mapo Ayam dengan Nasi, Nasi Padang dengan Keropok Udang, Ayam Basil Thai dengan Nasi, Ayam Tikka Masala dengan Roti Nan Bawang Putih, Ayam Laici Masam Manis dengan Nasi dan Biryani Ayam Bukhara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini