KUALA LUMPUR 28 Jun – Keuntungan sederhana dalam kaunter utiliti, pengangkutan dan telekomunikasi meningkatkan Bursa Malaysia dalam dagangan awal pada pagi ini.
Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.0 mata kepada1,674.70 berbanding paras penutup 1,672.70 pada Khamis.
Pada sesi pembukaan, indeks utama itu turun 1.28 mata untuk dibuka kepada 1,671.42.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 98 berbanding 95, 187 kaunter tidak berubah, 1,528 tidak diniagakan dan 97 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 99.13 juta saham bernilai RM39.82 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjangka trend pasaran bercampur-campur kepada rendah ini dijangka berterusan sehingga akhir minggu berikutan kekurangan petunjuk baharu.
Keadaan pasaran bercampur-campur itu dijangka berlaku dalam saham berharga rendah berikutan kekurangan pemangkin.
“Ini dijangka meneruskan trend tidak berubah kerana penyertaan runcit juga semakin berkurangan dalam keadaan pasaran yang tanpa hala tuju,” kata firma penyelidikan itu.
Malacca Securities berkata para pelabur menunggu petanda kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China apabila kedua-dua Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping tiba di Tokyo sempena menghadiri mesyuarat G20, di mana mereka dijangka mengadakan pertemuan.
Selain perang perdagangan AS-China, para pemimpin G20 juga dijangka membincangkan antara lainnya mengenai isu krisis kewangan global, perlindungan perladangan dan ketegangan ketenteraan AS-Iran. – BERNAMA











