SEPANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Utara, Desa Pinggiran Putra, Dengkil dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, dalam kejadian pukul 3.02 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan kecederaan parah yang dialami pada bahagian kepalanya.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu seorang lelaki Cina berumur 41 tahun datang dari arah Coffee Village menghala ke Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu tadi tidak dapat mengelak lalu melanggar basikal mangsa yang memasuki laluan kenderaannya,” katanya di sini hari ini.
Tambah Abdul Aziz, mangsa yang beralamat di Kampung Orang Asli, Bukit Dugang, Dengkil kemudian dihantar ke hospital untuk bedah siasat manakala kenderaan terlibat ditahan untuk proses siasatan.
Katanya lagi, tiada saksi awam sewaktu kejadian dan tidak ada televisyen litar tertutup.
“Keadaan cuaca baik ketika kejadian manakala jalan lurus, sehala dan mempunyai tiga lorong selain lorong motosikal,” ujarnya.
Abdul Aziz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE










