BN hargai sokongan berterusan CPC - Utusan Malaysia

BN hargai sokongan berterusan CPC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Delegasi Parti Komunis China (CPC) seramai 30 orang diketuai Li Xi melakukan kunjungan hormat ke Ibu pejabat Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Memetik portal UMNO Online, rombongan delegasi tersebut disambut Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan komponen parti itu termasuk Pengerusi MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN amat berbesar hati dengan sokongan berterusan parti pemerintah China walaupun BN bukan lagi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami amat berbesar hati dengan kunjungan ini walaupun kami bukan lagi lagi kerajaan tetapi kedatangan CPC adalah satu penghormatan yang sangat tinggi apatah lagi China adalah antara kuasa besar dunia hari ini.

“Kunjungan ini juga telah memberi satu semangat dan kekuatan kepada BN untuk meneruskan perjuangan dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kedudukan sama ada sebagai kerajaan atau sebagai pembangkang,” katanya seperti dipetik portal tersebut.

Antara yang hadir dalam pertemuan selama satu jam itu ialah Ahli Dewan Tertinggi BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Noraini Ahmad, Datuk M. Asojan dan Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam kunjungan tersebut, Xi yang juga Setiausaha CPC bagi Jawatankuasa Wilayah Guangdong telah menekankan akan meneruskan jalinan persahabatan dengan BN walaupun bukan lagi kerajaan.

Hubungan akrab antara BN dan CPC bermula 45 tahun lalu apabila kunjungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke China bertemu dengan Mao Tse Dong pada tahun 1974.

Hubungan tersebut berlanjutan dengan diperbaharui dalam perjanjian persefahaman pada tahun 2010.

Sejak itu delegasi antara kedua-dua parti saling berkunjung sambil bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman dalam pelbagai bidang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini