DASAR Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin, Awang anggap satu langkah yang mampu mengubah nasib penduduk luar bandar.
Awang berpendapat, dalam suasana ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, sudah pasti rakyat perlu berusaha menambah pendapatan masing-masing dan apa yang dilakukan oleh kerajaan melalui DPLB harus dipuji.
Bagaimanapun Awang berharap, ia akan diteruskan dengan penerangan dan tindakan bagi membolehkan mereka di luar bandar benar-benar memahami apa yang mahu diusahakan oleh kerajaan.
Dalam soal ini, peranan agensi-agensi di peringkat bawah atau lebih tepat lagi akar umbi adalah penting bagi memastikan apa yang dirancangkan berjaya. Awang membangkitkan perkara ini kerana acap kali dasar-dasar baik kerajaan sering sahaja terjejas akibat ‘tersangkut’ di peringkat pelaksanaan.
Apapun Awang yakin jika DPLB itu benar-benar dilaksanakan sudah pasti ia akan mengubah wajah dan nasib penduduk luar bandar. Apa yang penting ialah keikhlasan dan komitmen semua pihak bagi menjayakannya.
Awang – Suka luar bandar.










