KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 19 Ogos ini bagi kes rasuah melibatkan bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid.
Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh berkenaan pada sebutan kes itu hari ini.
Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal memberitahu, beberapa dokumen melibatkan penyata bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Bagaimanapun pihak kami masih berusaha untuk mendapatkan beberapa cek daripada pihak bank. Untuk itu pihak kami memohon satu tarikh baru sebutan semula kes bagi membolehkan cek-cek tersebut diserahkan kepada pihak pembelaan,” katanya.
Sementara itu, peguam bela Datuk Hasnal Rezua Merican mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen berkaitan.
Azman kemudiannya menetapkan 16 Julai sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE.










