KUALA LUMPUR – Setiap lapisan masyarakat yang melebihi umur 18 tahun seharusnya diberi ruang dan peluang untuk menyumbang idea, tenaga, masa serta semangat mereka di dalam arena politik tanah air.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage berkata, pihaknya akan terus komited serta konsisten dalam memperjuangkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan mendalam daripada golongan anak muda dalam bidang itu.
Katanya, AMK Wilayah Persekutuan juga tidak akan bertoleransi akan apa-apa insiden membabitkan diskriminasi anak muda berdasarkan umur semata-mata.
“Gejala diskriminasi berdasarkan umur semakin membarah di dalam arena politik tanah air. Semalam, kita telah dikejutkan dengan kenyataan melalui akaun media sosial seorang ahli Parlimen daripada PKR yang telah menggambarkan bahawa pimpinan politik anak muda dipenuhi korupsi dan permainan politik secara kotor.
“Saya ambil maklum akan maklum balas ahli Parlimen tersebut hari ini yang telah menjelaskan bahawa kenyataan tersebut telah dikongsi tanpa pengetahuan beliau dan tidak menggambarkan pendapat keseluruhan beliau berkenaan isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menerusi status akaun Instagram miliknya semalam yang menggambarkan seolah-olah kesemua individu menyertai politik pada usia muda akan terjerumus dalam politik tikam belakang dan tidak akan mempunyai pengalaman untuk mengetahui bagaimana dunia berfungsi.
Tambah Na’im, beliau berharap ahli-ahli politik tanah air akan mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dengan mengelakkan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh ditafsirkan untuk membawa konotasi bahawa seseorang individu boleh terlalu muda untuk bergiat secara aktif di dalam arena politik.
Beliau malah menggesa ahli-ahli Parlimen PKR menunjukkan komitmen mereka kepada sayap anak muda parti dengan mendapatkan konsensus untuk meluluskan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang akan di bentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini.
“Ahli-ahli Parlimen dan pimpinan tertinggi PKR harus memainkan peranan yang lebih penting dalam memantapkan pergerakan organisasi AMK di kawasan mereka dan di peringkat nasional supaya suara dan agenda anak muda boleh diangkat ke tahap yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











