Apakah Haziq dapat layanan istimewa? - Utusan Malaysia

Apakah Haziq dapat layanan istimewa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Apakah Haziq Abdullah Abdul Aziz mendapat layanan istimewa daripada PKR?

Persoalan tersebut dibangkitkan oleh bekas Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman selepas parti itu mengambil keputusan tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong itu sehinggalah siasatan polis berhubung kes video seks membabitkan dia dengan individu mirip menteri itu selesai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Arau turut hairan dengan keputusan itu selepas Haziq Abdullah sendiri telah membuat pengakuan bersumpah sebelum ini bahawa dia adalah individu di dalam video berkenaan.

“Saya hairan kenapa dia (Haziq Abdullah) belum dikenakan apa-apa tindakan. Dia sudah buat pengakuan dengan bersumpah lagi.

“Apakah dia punya layanan istimewa (dari PKR). Sekurang-kurangnya Haziq Abdullah perlu digantung keanggotaan kerana tindakan itu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa parti itu tidak akan mengambil tindakan terhadap Haziq Abdullah sehingga siasatan polis selesai.

Ahli Parlimen Pork Dickson itu dilaporkan berkata, PKR menolak politik kotor tetapi tidak akan menghukum Haziq Abdullah sebelum polis menyelesaikan siasatan mereka.

Sebelum itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta agar Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang yang bertanggungjawab mewujudkan kumpulan dalam aplikasi WhatsApp berhubung penularan video seks yang didakwa mirip dengan beliau baru-baru ini.

Kata Timbalan Presiden PKR itu, langkah tersebut perlu diambil kerana pihak yang mewujudkan kumpulan tersebut mempunyai maklumat mengenai individu yang hendak dijadikan ahli dalam laman sosial berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Faisol menggesa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim agar memberikan penjelasan berhubung dakwaannya bahawa polis tentunya sudah memberitahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad siapa dalang di sebalik tindakan Haziq Abdullah itu.

“Rakyat juga menanti- nanti siapa dalang sebenarnya dalam kes berkenaan. Apa yang penting, tidak kira siapa pun dalangnya, individu terbabit perlu dihukum,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini