Anjung Spotter pertingkat aktiviti pemerhatian pesawat - Utusan Malaysia

Anjung Spotter pertingkat aktiviti pemerhatian pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) hari ini telah melancarkan Anjung Spotter, iaitu dek pemerhati pesawat luar pertama seumpamanya di negara ini dalam usaha mempertingkat serta menggalakkan aktiviti pemerhatian pesawat (plane spotting).

Pembukaan dek yang mampu menampung sehingga 40 orang pada sesuatu masa itu sekali gus mewujudkan satu lokasi tumpuan pelancongan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi kemudahan baharu tersebut, orang ramai boleh menggunakan dek itu untuk menikmati panorama pelbagai pesawat berlepas dan mendarat dari perspektif sebuah lokasi strategik yang terletak dalam lingkungan perimeter 10 kilometer persegi dari KLIA.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, dengan pembukaan Anjung Spotter, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan lebih banyak dek seumpamanya pada masa depan.

“Aktiviti memerhati pesawat ini adalah aktiviti yang digemari ramai. Kita melihat aktiviti ini dilakukan di lapangan-lapangan terbang di Perth, Australia; Frankfurt, Jerman dan Amerika Syarikat.

“Sehubungan itu, kita berharap ia dapat berkembang dan aktif di negara ini juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran berkenaan.

Pembinaan dek merangkumi ruang berbumbung separuh dan terbuka sepenuhnya itu melibatkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM300,000.

Yang turut hadir, Pengerusi MAHB, Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×