Angkara dadah, anak cekik, ugut ibu - Utusan Malaysia

Angkara dadah, anak cekik, ugut ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS – Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah tergamak mencekik leher dan mengugut supaya ibunya mati dalam kejadian di Penaga, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang di rumah keluarga berkenaan, suspek berumur 36 tahun dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan mengamuk dan marah-marah.

Malah, suspek juga bertindak melepaskan motosikal yang dinaikinya ketika itu sehingga hampir melanggar ibunya yang berumur 60 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa berjaya melepaskan diri selepas menggigit tangan suspek yang mencekiknya sebelum membuat laporan polis.

Ketika kejadian, katanya, anak lelaki bongsu wanita berkenaan turut berada di rumah dan mangsa mengalami kecederaan di bahagian punggung akibat pergelutan dengan suspek ketika cuba melepaskan diri.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati kejadian amuk melibatkan suspek bukan kali pertama berlaku dan kerap terjadi sebelum ini dipercayai kerana pengaruh dadah.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis MOP selain mempunyai empat rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, Butterworth hari ini untuk permohonan tahanan reman bagi tujuan siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini