AlliancesDBS naikan harga saham bagi Gamuda kepada RM4.65 - Utusan Malaysia

AlliancesDBS naikan harga saham bagi Gamuda kepada RM4.65

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – AllianceDBS Research hari ini menaikkan harga sasaran (TP) Gamuda Bhd (TP) kepada RM4.65 sesaham.

Katanya, TP yang lebih tinggi telah mengambil kira margin yang lebih tinggi bagi Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya Line (MRT 2) dan hasil tunai yang diterima untuk Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

“Pada pandangan kami, Gamuda akan terus menjadi proksi kepada infrastruktur tempatan apabila sentimen terhadap sektor itu meningkat dan projek-projek dilaksanakan semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemangkin utama dalam tempoh terdekat ialah pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, pelaksanaan semula MRT 3 dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura serta dividen khas daripada pengambilalihan lebuh raya bertol,” katanya dalam nota hari ini.

AllianceDBS Research turut menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2019 syarikat itu sebanyak lima peratus mengambil kira margin pembinaan yang lebih tinggi untuk MRT 2.

“Bagaimanapun, kami belum mengambil kira pengambilalihan tolnya, yang akan memberi impak selama tujuh bulan untuk tahun kewangan 2020 dan impak tahun penuh bagi tahun kewangan 2021, mengandaikan selesai pada Disember 2019,” katanya.

Katanya akan terdapat keuntungan sekali sahaja sebanyak RM1 bilion.

“Menganggarkan pembayaran sebanyak 50 peratus, ini akan membawa kepada hasil sekali sahaja sebanyak 12 peratus,” katanya.

Semalam, Gamuda berkata ia menerima tawaran yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) untuk membeli semua kepentingan ekuiti kumpulan itu dalam Kesas Sdn Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart).

Gamuda yakin pendapatan akan pulih pada tahun kewangan 2021, selepas dijangka merosot pada tahun kewangan 2020.

AllianceDBS Research berkata dengan hasil tunai diterima daripada Splash, lembaran imbangan Gamuda bertambah baik.

“Sehingga 30 April, 2019, tahap kadar hutang bersihnya sebanyak 39 peratus dan dijangka susut kepada 10 peratus apabila hasil tunai diterima daripada pengambilalihan tolnya,” katanya.

Gamuda turut menyatakan mengenai meninjau pasaran pembinaan di Australia, berikutan terdapat potensi nilai pekerjaan sehingga A$100 bilion-A$150 bilion (A$1=RM2.90) dalam tempoh 10-15 tahun akan datang di New South Wales dan Victoria.

Strateginya ialah bekerjasama dengan kontraktor Australia bersaiz sederhana dan bermula dengan kontrak yang lebih kecil kepada sederhana, menyasarkan untuk meraih A$2 bilion nilai pekerjaan dalam tempoh 12 bulan akan datang. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini