PUTRAJAYA – Datuk Lee Chong Wei terpaksa ditenangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas tidak mampu menahan sebak ketika mengumumkan persaraannya hari ini.
Tempoh 19 tahun yang cukup bermakna dengan melalui pelbagai momen yang pasti tidak akan dilupai rakyat Malaysia.
Bekas pemain nombor satu dunia itu, hari ini secara rasmi mengumumkan persaraan sebagai atlet badminton negara namun berjanji akan terus membantu pembangunan sukan tersebut.
“Terima kasih semua rakyat Malaysia, jurulatih, BAM ( Persatuan Badminton Malaysia) saya akan sentiasa merindui semua yang telah dilalui dan juga media yang selalu bersama saya saat jatuh dan berjaya.
“Saya akan berehat selama sebulan dan selepas itu akan membuat keputusan tentang apa yang akan dilakukan selepas ini,” katanya ketika sesi sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. -UTUSAN ONLINE










