KUALA LUMPUR – Sebanyak 90 kematian dilaporkan dalam tempoh lima hari selepas Ops Selamat 15/2019 dilancarkan di seluruh negara pada 29 Mei lalu.
Kesemua kematian itu melibatkan 84 kes kemalangan maut daripada 8,454 kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan di seluruh negara.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor masih mencatat jumlah kematian yang paling tinggi iaitu sebanyak 13 kes melibatkan 2,518 kemalangan.
“Negeri Johor pula mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 11 kes kematian daripada 1,294 kemalangan yang dilaporkan.
“Negeri Perak dan Sawarak pula mencatat jumlah kematian ketiga tertinggi iaitu masing-masing 10 kes, diikuti Kedah sebanyak sembilan kes dan Terengganu sebanyak lapan kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asmawati menambah, pihak polis juga telah mengeluarkan sebanyak 121,590 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada kesemua pengguna jalan raya di seluruh negara.
“Polis turut menerima sebanyak 208 laporan berkaitan kes pecah rumah dan premis dengan Selangor masih mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 47 kes.
“Kuala Lumpur pula mencatatkan jumlah kedua tertinggi sebanyak 20 kes dan diikuti dengan Perak sebanyak 19 kes,” ujarnya. – K! ONLINE











