SEREMBAN – Kira-kira 38,000 kilogram (kg) daging lembu dijual dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran dalam Program Mantai Perdana Aidilfitri di seluruh negeri ini, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapatkan daging tersebut, setiap orang dihadkan membeli 3 kg daging sahaja.
“Pada tahun ini, harga yang ditawarkan adalah RM29 sekilogram bagi daging pejal. Harga ini jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa iaitu sekitar RM36 hingga RM38. Daging batang pinang pula dijual RM35 sekilogram berbanding RM40 sekilogram di pasaran.
“Kira-kira 380 ekor lembu disembelih sempena program ini dan kerajaan negeri memberi jaminan proses sembelihan dipantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan semua produk itu dijamin halal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Mantai Perdana Aidilfitri di Masjid Dato’ Klana Petra Mohd. Yusof di Sikamat di sini hari ini.
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat berkata, pada tahun ini program tersebut diperluaskan ke seluruh negeri dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 12,666 penduduk.
Katanya, di daerah Jempol, ia diadakan di tapak Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol; Rembau (Dewan Agora); Port Dickson (Tapak Pasar Tani Batu 1); Tampin (Kompleks Arena); Jelebu (parkir Dewan D’Sury); Gemas (Dewan Orang Ramai Gemas) dan Kuala Pilah (tapak Pasar Tani Kuala Pilah).
Ujarnya, empat lokasi di Seremban ialah di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd. Yusof, Dewan Orang Ramai Dato’ Shahardin, Pasar Nilai 3 serta tapak Pasar Komuniti dan Karavan Paroi.
Katanya, pelbagai produk lain turut dijual antaranya ayam daging, telur ayam, sayur-sayuran, santan segar, produk salai dan pelbagai barangan basah. – UTUSAN ONLINE











