1,579kg daun ketum dirampas - Utusan Malaysia

1,579kg daun ketum dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP – Sebanyak 1,579 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM142,110 berjaya dirampas susulan penahanan dua lelaki warganegara Thailand dan Myanmar yang dipercayai penyeludup di Durian Burung, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, penahanan kedua-dua suspek masing-masing berusia 33 tahun itu dibuat oleh pasukan ronda Enam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) yang sedang melakukan tugas rondaan di sempadan Malaysia-Thailand.

Turut ditahan, seorang lelaki dan wanita Myanmar, masing-masing berusia 32 dan 25 tahun yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini oleh kedua-dua suspek terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Mohd. Halim Khalid berkata, kesemua mereka yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan kini diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Daun ketum yang dibungkus dalam plastik hitam ditemukan di dalam sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero, tetapi pemandu kenderaan itu berjaya meloloskan diri ke arah hutan selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

“Bagaimanapun, dua suspek dan dua lagi individu tersebut yang cuba bersembunyi berjaya diberkas di lokasi yang dipercayai menjadi tempat pembungkusan dan transit ketum untuk tujuan penyeludupan di sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Halim berkata, pihaknya turut merampas pelbagai mata wang termasuk baht dan kyat yang keseluruhannya bernilai RM3,720 serta tujuh telefon bimbit dalam operasi itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini