IPOH – Sebanyak 12 ahli gabungan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menyatakan pendirian mereka yang sudah hilang kepercayaan terhadap Majlis Eksekutif badan induk itu melalui undi tidak percaya hari ini.
Presiden Persatuan Karate Putrajaya, P. Thiagu berkata, keputusan yang dibuat menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Makaf itu adalah ekoran kegagalan Majlis Eksekutif memberikan penjelasan kepada ahli gabungan berhubung perkara-perkara berbangkit sejak Februari lalu.
Katanya, antara punca utama undi tidak percaya itu dilakukan juga adalah disebabkan oleh kegagalan Makaf mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan mesyuarat dwi-tahunan badan induk berkenaan.
“Selain itu, kegagalan program latihan dan kejohanan bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2020 Tokyo juga merupakan sebab 12 daripada 22 ahli gabungan Makaf melakukan undi tidak percaya terhadap Majlis Eksekutif badan induk itu.
“Kami juga telah hilang kepercayaan apabila segala aktiviti dan tindakan yang diambil mereka adalah melanggar dan sama sekali tidak mengikuti perlembagaan Makaf sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa Makaf di Hotel Tower Regency di sini hari ini.
Thiagu mendakwa, pihaknya juga mempunyai banyak bukti tentang penyalahgunaan dana oleh badan induk itu di mana pihak pengurusan telah membuat pelaburan di syarikat yang tidak mendapat persetujuan ahli majlis tertinggi.
Malah katanya, berlaku pembaziran dana demi kepentingan peribadi apabila pegawai dan exco Makaf diberikan percutian ke luar negara tanpa sebab.
“Sebagai contoh, kita mempunyai lapan atlet tetapi pegawai yang ikut ke sesuatu kejohanan sehingga 12 orang dan ini merupakan pembaziran. Kita ada bukti yang dana persatuan bukan sahaja tidak digunakan dengan cara yang betul malah untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Menurut beliau, keputusan melaksanakan EGM itu adalah jalan terakhir bagi ahli-ahli gabungan Makaf disebabkan Majlis Eksekutif tidak menghiraukan permintaan mereka untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara-perkara yang dibangkitkan.
“Penyelesaian dalaman mengikut Seksyen 23 Akta Pembangunan Sukan 1997 diambil bagi menyelesaikan masalah ini namun sekiranya tidak selesai, barulah ia membabitkan campur tangan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
“Berdasarkan keputusan undi tidak percaya hari ini, status pentadbiran Makaf akan diambil alih oleh jawatankuasa ad hoc sehingga Mesyuarat Agung Pemilihan Majlis Eksekutif yang baharu dijangka diadakan pada 10 Julai depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











