SEREMBAN – Sebanyak 1,144 kes kemalangan jalan raya melibatkan lapan kes kemalangan maut dicatatkan di Negeri Sembilan sepanjang Op Selamat 15/2019 diadakan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, Op Selamat 15/2019 dilaksanakan di Negeri Sembilan bermula 29 Mei hingga 12 Jun lalu.
“Statistik Op Selamat 15/2019 di Negeri Sembilan menunjukkan sebanyak lapan kes kemalangan maut dengan sembilan kematian. Bagi kecederaan parah sebanyak 17 kes.
“Bagaimanapun Op Selamat 2019 menunjukkan penurunan enam kes kemalangan maut berbanding Op Selamat 13/2018 tahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Ibrahim berkata, penurunan kadar kemalangan maut itu hasil kerjasama kerajaan negeri memasang ‘seed breaker’, ‘road stud’, cermin cembong, papan tanda kawasan kemalangan dan ‘blinker’ di lokasi dikenal pasti.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 8,729 saman dikeluarkan semasa Op Selamat 15/2019 dan terdapat enam kesalahan utama dikenal pasti dilakukan oleh pengguna jalan raya.
Katanya, kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, memotong barisan, melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju. – K! ONLINE










