PELABUHAN KLANG 24 Mei – Yayasan Eco World menyumbang RM36,000 dalam bentuk peralatan persekolahan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Ketam, memadangkan sekolah tersebut agak ketinggalan dari segi kemudahan asasnya.
Antara peralatan persekolahan yang disumbangkan adalah 200 unit meja dan 200 unit kerusi pelajar; 12 meja guru; meja dan kerusi makan; mesin pencetak; peti sejuk; rak buku serta komputer.
Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Pulau Ketam dari segi kemudahan asas termasuk keadaan sekolah agak ketinggalan serta ada beberapa peralatan persekolahan sudah uzur dan memerlukan penggantian segera.
“Kami menerima permohonan dari pihak sekolah bulan lalu yang memberitahu mereka memerlukan peralatan sekolah kerana banyak kelengkapan itu sudah uzur dan selepas satu sesi tinjauan dibuat, kami terus sebulat suara bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada SMK Pulau Ketam.
“Sebenarnya ini tanggungjawab Kementerian Pendidikan tetapi kami faham dalam kekangan dana yang dihadapi kerajaan, khususnya kos pengangkutan yang tinggi disebabkan jarak Pulau Ketam ini jauh, jadi kita bergerak lebih dahulu.
“ Sehubungan itu, Yayasan Eco World tampil mengambil inisiatif ini untuk memastikan persekolahan anak-anak tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peralatan persekolahan di Pulau Ketam di sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Yayasan Eco World, Philip Mathews dan Ketua Pengawai Eksekutif Eco World, Datuk Liew Siong Sing. – UTUSAN ONLINE











