PARIS 27 Mei – Bekas pemain No. 1 dunia, Caroline Wozniacki tumpas 6-0, 3-6, 3-6 kepada pemain No. 68 dunia, Veronika Kudermetova dari Rusia seawal pusingan pertama kejohanan tenis Terbuka Perancis, hari ini.
Bintang tenis yang juga pilihan ke-13 itu tiba di Paris dengan dibayangi masalah kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada dua kejohanan.
Bagaimanapun Wozniacki, 29, bermula dengan meyakinkan apabila mendahului 6-0 di set pembukaan, namun tumbang dalam dua set berikutnya.
Juara Terbuka Australia 2018 itu melakukan 10 kesilapan sendiri untuk memberi laluan kepada pemain berusia 22 tahun, Kudermetova meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
“Saya agak gemuruh di awal permainan tetapi saya cuba beraksi lebih agresif dalam dua set berikutnya,” kata Kudermetova.
Kudermetova kini akan berdepan sama ada pemain Kazakhstan, Zarina Diyas atau Audrey Albie dari Perancis pada pusingan kedua. – AFP











