World #QuranHour: Kembalikan umat Islam kepada landasan sebenar - Utusan Malaysia

World #QuranHour: Kembalikan umat Islam kepada landasan sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 5 Mei – Penganjuran World #QuranHour pada setiap tahun merupakan satu gerakan bagi menyatupadukan umat Islam yang kini berpecah kepada landasan sebenar melalui bacaan dan pemahaman serta melaksanakan segala arahan terkandung di dalam kitab suci itu.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub berkata, oleh demikian program yang dicetuskan pihaknya merupakan antara satu usaha agar umat Islam kembali kepada bersatu dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

“Sejak 1,400 tahun lalu, kita telah berhadapan pelbagai masalah dan dilema sekali gus menyukarkan untuk menjadi ummah terbaik di muka bumi ini, apatah lagi wujud usaha memecah-belahkan yang sering berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk menyelesaikan masalah ini, hanya satu cara sahaja iaitu kembali kepada rujukan sebenar kita iaitu al-Quran, jika baca, memahami ayat serta mempraktikkannya, Insya Allah perkara ini boleh diselesaikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Pelantikan Pengerusi Raudhah City Sdn. Bhd. di Cyber Valley di sini hari ini.

Program World #QuranHour yang bertemakan ‘Solusi Cabaran Sejagat’ dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 30 Mei iaitu bersamaan 25 Ramadan ini.

Program kali ini turut mendapat sokongan kerjasama media-media cetak dan elektronik utama negara yang akan bersama-sama mempromosikan program berkenaan seperti Utusan Malaysia, Kosmo!, Kumpulan Media Karangkraf, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Kumpulan Media Prima dan TV AlHijrah.

Terdahulu, Hussamuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. diumumkan sebagai Pengerusi Raudhah City Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat pemaju yang menawarkan bandar model Islam pertama di dunia.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim menyifatkan pelantikan Hussamuddin adalah tepat pada masanya berdasarkan sumbangan tokoh itu kepada pembangunan umat Islam di Malaysia khususnya menerusi gagasan World #QuranHour setiap tahun.

Beliau berharap penyertaan itu dapat membantu pihaknya dalam mengembleng usaha mewujudkan bandar model Islam yang merangkumi projek pembangunan bercampur dengan melibatkan empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya 15 tahun lagi.

Prohek Raudhah City itu meliputi pembangunan kluster pendidikan awal berasaskan montensari Islam, kluster pendidikan tinggi dan hab pelancongan perubatan, kluster multimedia kreatif dan hab halal, kluster komersial dan kluster kediaman. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini