MARAN – Seorang suami terbunuh apabila kereta yang dipandu oleh isterinya terbabas di Kilometer 172.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Tay Meng Kiow, 69, yang beralamat di Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kereta Mercedes Benz yang dipandu isterinya, Sew Yoon Yin, 64, telah terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian sehingga mencederakan bahagian mata dan bahu kirinya.
“Pemandu terbabit dipercayai mengantuk menyebabkan keretanya hilang kawalan sebelum melanggar tebing bukit dan terbalik di lorong kiri laluan yang sama.
“Suaminya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, pemandu terbabit pula dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE











