Warga emas hilang ditemui di dalam perigi - Utusan Malaysia

Warga emas hilang ditemui di dalam perigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITIAWAN – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas selepas dia keluar menorah getah di Kampung Koh di sini kelmarin terjawab apabila dia ditemui di dalam sebuah perigi semalam. 

Mangsa, Chong Eng Koon, 70, ditemui orang awam dalam keadaan selamat di dalam perigi di kawasan kebun sawit di Batu 6 Lekir di sini pada pukul 9.40 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd. Zaki Zainol berkata, mangsa dipercayai terjatuh dalam perigi berlumpur sedalam empat meter itu kerana tidak menyedari kewujudannya ketika berjalan dalam kawasan kebun sawit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, bomba dimaklumkan orang awam mengenai penemuan motosikal mangsa di kawasan berkenaan sebelum gerakan mencarinya dijalankan.

“Anggota bomba menggunakan tangga dan tali untuk membawa mangsa keluar dari perigi itu.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dia berada dalam keadaan lemah dan dia kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.40 malam tadi.

Warga emas berkenaan tidak pulang ke rumah sejak kelmarin selepas keluar menoreh dengan menunggang motosikal sebelum kehilangannya itu dimaklumkan kepada polis dan bomba.

Pasukan bomba menjalankan gerakan mencari lelaki berkenaan sejak pagi semalam bersama polis, ahli keluarga serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebaik menerima maklumat itu pada 11.40 pagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini