KANGAR 29 Mei – Tindakan tidak bertanggungjawab seorang warden sebuah maahad tahfiz di Simpang Empat, Arau meliwat serta melakukan jenayah seksual terhadap lima pelajarnya bulan lalu mendapat pembalasan, apabila lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 133 tahun serta 42 kali sebatan atas 26 pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Nawawi Anuar, 28, mengaku salah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Tertuduh yang berasal dari Bandar Baharu, Kedah itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maahad Tahfiz Al-Quran Ar-Raudhah, Simpang Empat di sini ke atas mangsa yang masing-masing berusia antara sembilan, 10, 11 dan 15 tahun sepanjang April lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan lain iaitu liwat dan memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada salah seorang mangsa berusia 11 tahun.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.
Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim memohon agar hukuman berat dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius sehingga mengakibatkan semua mangsa dan keluarga mereka mengalami trauma.
“Tertuduh juga gagal untuk menjalankan amanah yang diberikan sebagai seorang warden di pusat tahfiz tersebut,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada, Mohd. Izham Ali dan Mohd. Farhan Aliff Ahmad sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Mohd. Hapiz dan Nor Herdawati.
Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk serahan dokumen bagi tiga lagi pertuduhan yang diminta untuk dibicarakan.
Media sebelum ini melaporkan pengalaman hitam lima orang pelajar sebuah pusat tahfiz di sini, selepas mereka disyaki diliwat dan diganggu secara seksual oleh warden asrama pusat pengajian berkenaan, sepanjang bulan lalu.
Perbuatan jijik lelaki itu akhirnya terbongkar selepas mangsa yang berusia 15 tahun mengadu mengenai perkara tersebut kepada seorang guru di pusat tahfiz berkenaan sebelum mereka membuat laporan polis. – UTUSAN ONLINE











