Wani Kayrie terkejut gambar disalah guna - Utusan Malaysia

Wani Kayrie terkejut gambar disalah guna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ramai yang berpendapat, perkembangan teknologi khususnya internet mampu memberi kesenangan terhadap kehidupan. Namun, di sebalik perkembangan positif tersebut, ada juga yang mengambil kesempatan semata-mata mahu memuaskan nafsu dan kepentingan diri.

Terbaharu, penyanyi Wani Kayrie menjadi mangsa jenayah siber apabila gambarnya ketika masih kecil digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi menjalankan aktiviti gangguan seksual terhadap kanak-kanak atau pedofilia dalam laman sosial, Facebook.

Lebih memburukkan keadaan, individu tersebut juga menggunakan nama Wani Kayrie sebagai nama akaun dan meninggalkan komen-komen yang kurang molek di beberapa keping gambar kanak-kanak dalam akaun Facebook berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata, dia sedar dengan aktiviti terkutuk tersebut sejak minggu lalu. Menurut penyanyi berusia 19 tahun itu, dia menerima aduan daripada puluhan peminatnya menerusi ruangan Direct Message (DM) dalam Instagram.

Menurut Wani, dia berasa sangat kesal dan kecewa kerana ada individu yang sanggup menggunakan nama orang lain demi kepuasan nafsu songsang mereka.

Dalam pada itu, Wani memberitahu, dia sedang giat mengumpulkan bahan bukti dan rakaman paparan skrin sebelum membuat laporan polis dalam masa terdekat.

KOSMO!: Bilakah Wani menyedari mengenai penyalahgunaan gambar anda dalam Facebook?

Wani Kayrie: Sejujurnya, saya mula menyedari tentang hal ini sekitar minggu lalu selepas diberitahu oleh beberapa orang rakan dan peminat. Maklumlah, saya sudah lama tidak aktif menggunakan Facebook. Pada mulanya, saya fikir mereka tergolong dalam kalangan individu yang gemar menggunakan gambar artis. Namun, tidak sangka pula sebalik profil tersebut, mereka meninggalkan komen-komen tidak elok pada gambar kanak-kanak lain.

Apakah gambar yang digunakan oleh pemilik akaun Facebook berkenaan?

Gambar yang digunakan adalah gambar ketika saya masih kecil, mungkin sewaktu menyertai program nyanyian Kamilah Bintang. Namun, kepala saya dipotong dan hanya tubuh sahaja kelihatan.

Siapakah orang pertama yang anda rujuk berhubung isu terbaharu ini?

Sudah tentu syarikat rakaman saya iaitu SRC. Kemudian, barulah saya beritahu ibu.

Apakah nasihat yang diberikan oleh label muzik anda?

Mereka meminta saya mengumpul bahan-bahan bukti terlebih dahulu. Selepas bahan bukti sudah mencukupi, saya akan membuat laporan polis. Saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan kerana melibatkan nama baik saya. Saya bimbang pandangan khalayak apabila mereka melihat profil Facebook yang seolah-olah milik saya, tetapi terdapat komen yang bukan-bukan pada gambar kanak-kanak.

Bilakah anda akan membuat laporan polis?Buat masa ini belum lagi. Saya juga agak sibuk dengan pelajaran di kolej, jadi proses mengumpul bukti berjalan agak perlahan. Namun, saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepatnya.

Apakah nasihat anda kepada orang luar khususnya peminat yang mempunyai anak kecil?

Pesanan saya supaya sentiasa berhati-hati ketika memuat naik gambar anak-anak dalam media sosial. Kita tidak tahu niat orang lain, jadi cuba elak memuat naik gambar anak yang mungkin terlalu seksi.

Berang gambarnya disalah guna dalam media sosial, Wani memutuskan untuk membuat laporan polis selepas selesai mengumpulkan bukti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini