IPOH – Seorang warga emas mengalami kerugian lebih RM110,400 apabila wang simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap selepas ditipu seorang kenalan media sosial Facebook Mac lalu.
Mangsa yang merupakan pekerja swasta dan mahu dikenali sebagai Lee, 57, berkata, dia mengenali lelaki bernama Alvin Ong Wu, 66, melalui laman sosial pada Mac lalu dan menyatakan bekerja sebagai pengarah projek di sebuah syarikat teknologi marin dan pelantar minyak.
“Pada awalnya, Alvin mahu meminjam duit saya berjumlah RM9,500 bagi tujuan membayar sewa rumahnya di Singapura.
“Tanpa syak, saya telah memasukkan wang berkenaan kepada ejen rumah pangsapuri melalui satu akaun di atas nama Pan Yuk Fong @Mary Pan pada 20 Mac,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Impian di sini hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Canning, Jenny Choy Tsi Jen.
Tambah Lee, lelaki tersebut sekali lagi memaklumkan kepadanya bahawa wang tersebut tidak mencukupi dan meminta pinjaman masing-masing sebanyak RM11,900 pada 22 Mac dan RM30,000 pada 25 Mac.
“Saya menurut kemahuannya dan ketika saya bertanya mengenai bayaran balik pinjaman wang tersebut, Alvin memberitahu dia telah membuat pindahan wang sebanyak AS$7,000 (RM29,032) dan AS$7,300 (RM30,276).
“Bagaimanapun, Alvin meminta saya menunggu seketika sebelum transaksi berkenaan berjaya,” katanya.
Katanya, Alvin sekali lagi menghubunginya untuk meminjam wang sebanyak RM13,000 pada 28 Mac bagi tujuan pembayaran barang projek yang dibeli di Pelabuhan Klang.
“Saya menyerahkan wang tersebut melalui akaun sama pada 1 April bersama RM10,000 lagi untuk caj bank menurut Alvin seminggu kemudian.
“Bagaimanapun, saya menerima satu panggilan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai akaun deposit bank negara dan meminta saya membayar RM36,000 lagi untuk caj bank,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa dan membayar wang berkenaan.
“Saya menyedari ditipu selepas Alvin memberitahu saya perlu membayar wang RM54,000 kerana menghina dan memarahi pegawai bank tersebut.
“Selepas menyedari ditipu, saya hadir ke Balai Polis Sungai Senam pada Jumaat lalu bagi membuat laporan polis berkaitan kejadian ini,” katanya. – K! ONLINE











