KUALA LUMPUR 9 Mei – Pertubuhan Wanita Di Hati Rakyat (Wadira) komited untuk membantu golongan wanita berdikari dan menjadi penyumbang kepada pembangunan negara tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Timbalan Pengerusinya, Datin Noorul Ain Mohamed Nor berkata, antara tumpuan yang diberikan pertubuhan itu adalah kepada golongan ibu tunggal, gelandangan, memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan membantu menangani isu sosial dalam kalangan remaja perempuan
“Kita mahu menjadi platform kepada kaum wanita untuk segala bentuk pertolongan yang disediakan kerajaan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Pertubuhan ini juga mengalu-alukan penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menuju ke arah Malaysia yang lebih maju dan sejahtera sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kaum wanita mampu berdikari seiring dengan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa anjuran Wadira di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Wadira, Datuk Tengku Ilham Almarhum Tengku Temenggung Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Noorul Ain turut memaklumkan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah berkenan untuk menjadi Penaung Diraja kepada pertubuhan tersebut. – UTUSAN ONLINE











