PUTRAJAYA 22 Mei – Seorang pembantu penilaian cedera manakala anak bongsunya berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan apabila kereta Honda City dipandunya terbabit dalam kemalangan di simpang empat Persiaran Perdana/Lebuh Bestari di sini pagi ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, wanita berusia 38 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Presint 18 selepas membeli bubur untuk anak bongsunya di sebuah restoran makanan segera tidak jauh dari lokasi nahas.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mangsa yang memandu kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak menghala ke Presint 18 dekat sini.
Beliau berkata, sampai di simpang lampu isyarat, pengadu telah berhenti di lampu merah.
“Semasa lampu isyarat berwarna hijau, pengadu meneruskan perjalanan dan tiba-tiba dilanggar oleh sebuah motokar Honda HRV dari arah kiri.
“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rosly berkata, siasatan awal mendapati, pengadu dilanggar motokar yang melanggar lampu isyarat.
Katanya, pemandu motokar terbabit masih belum membuat laporan dan kes disiasat di bawah Peraturan 17 LN167/59.
Sementara itu, suami pengadu, Shahrizan Abdul Sahidan, 37, memberitahu, ketika kejadian isterinya dalam perjalanan pulang selepas membeli bubur di sebuah reatoran makanan segera untuk anak bongsu mereka.
Menurut Shahrizan, akibat kemalangan itu isterinya, Noor Farah Mariana Othman yang bertugas di Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta dekat sini, cedera di muka, hidung serta sakit-sakit badan.
“Anak saya pula muntah-muntah. Mereka telah dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Shahrizan, ketika kejadian dia berada di rumah dan terkejut menerima panggilan kira-kira pukul 11.52 pagi daripada seorang lelaki menggunakan telefon bimbit isterinya, memaklumkan kemalangan terbabit.
“Saya sangat terkejut apabila telefon nombor isteri, tetapi yang bercakap seorang lelaki. Tanpa berfikir panjang saya bergegas ke lokasi. Ini ujian sempena Nuzul Qur’an,” katanya yang bersyukur isteri dan anaknya terselamat dalam nahas itu. – UTUSAN ONLINE











