KLANG 25 Mei – Hujan lebat hampir sejam petang semalam menyebabkan beberapa taman perumahan yang terletak di kawasan rendah di Meru dekat sini, dilanda banjir kilat.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, antara kawasan yang terjejas ialah perumahan sekitar Jalan Chempaka, Taman Daya Meru dan Taman Meru Utama yang dinaiki air separas betis dan kawasan lebih rendah dinaiki air lebih tinggi.

Turut dinaiki air ialah kawasan perindustrian yang menempatkan kilang-kilang dan asrama-asrama pekerja.
Masalah perparitan yang tidak sempurna dengan saluran longkang tersumbat dipenuhi sampah-sarap memburukkan lagi keadaan.
Penduduk tidak menolak kemungkinan banjir kilat turut berpunca daripada projek pembangunan yang semakin banyak terdapat di sekitar Meru sehingga mengganggu sistem perparitan.
Keadaan banjir yang belum surut sehingga tengah hari ini menyebabkan ada penduduk terpaksa meredah air untuk pelbagai urusan harian sepanjang Ramadan ini.
Sementara laluan di beberapa jalan seperti di Jalan Chempaka, turut terjejas kerana masih ditenggelami air. Malah, ada kenderaan yang terpaksa ditolak oleh orang ramai setelah gagal meredah banjir.

Seorang penduduk di Taman Daya Meru, Sani Dayat, 37, memberitahu, kawasan rumahnya di Jalan Abadi 5 dinaiki air separas betis.
“Mujur tak masuk rumah lagi, setakat kawasan tempat letak kereta sahaja. Ada rumah jiran dinaiki air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dia ditemui ketika meredah banjir sambil mendukung bayinya untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik berdekatan.

Seorang lagi penduduk, Natipah Jemangin, 53, memberitahu, hujan petang semalam sangat lebat menyebabkan kawasan perumahannya mengalami banjir kilat.
“Alhamdulillah air tak sampai masuk dalam rumah, setakat kawasan letak kereta, tapi kawasan lain dinaiki air. Tak tahu lah petang ni macam mana, tengok cuaca pun macam nak hujan balik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











