KUALA LUMPUR 29 Mei – Keuntungan bersih UOA Development Bhd. (UOA) meningkat kepada RM59.86 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM32.27 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
UOA dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, hasil turut meningkat sebanyak 42.3 peratus kepada RM244.7 juta berbanding RM172.0 juta pada asas tahun ke tahun.
“Hasil dan keuntungan kumpulan sebahagian besarnya daripada perakuan projek-projek pembangunan semasa seperti United Point Residence, Sentul Point Suite Apartments, South Link Lifestyle Apartments dan penjualan saham,” katanya di sini hari ini.
UOA berkata, jualan hartanah baharu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019 bernilai kira-kira RM171.23 juta.
“Jualan hartanah bagi tahun ini diperoleh daripada South Link Lifestyle Apartments, Sentul Point Suite Apartments dan United Point Residence,” katanya.
Jumlah jualan yang belum di bil sehingga 31 Mac 2019 berjumlah RM1.40 bilion.
Mengenai prospek, UOA berkata, kumpulan itu terus memberi tumpuan kepada pembangunan di lokasi geografi sasaran dan terus menilai peluang pengambilalihan tanah yang memenuhi kriteria. – BERNAMA











