KUALA LUMPUR 28 Mei – Keuntungan bersih Hong Leong Financial Group Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2019, menyusut kepada RM463.42 juta daripada RM502.56 juta dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.
Perolehan merosot kepada RM1.31 bilion daripada RM1.39 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Katanya, penurunan keuntungan bersih itu disebabkan sumbangan lebih rendah daripada semua bahagiannya yang beroperasi.
Hong Leong Bank Group mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM633.90 juta bagi suku yang disemak berbanding RM690.03 juta dicatatkan pada suku sama sebelumnya, berikutan perolehan lebih rendah pada RM89.2 juta dan masuk kira semula elaun bagi kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan pada RM800,000.
“Ini, bagaimanapun, diimbangi oleh elaun lebih rendah bagi kerugian rosot nilai untuk pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan pada RM8.3 juta, perbelanjaan operasi lebih rendah pada RM1.1 juta dan perkongsian keuntungan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu pada RM4.2 juta,” katanya.
HLA Holdings Group turut mencatatkan prestasi lebih lemah, khususnya disebabkan oleh lebihan dana hayat lebih rendah pada RM8.7 juta, perkongsian keuntungan lebih rendah daripada syarikat bersekutu pada RM9.3 juta dan perbelanjaan operasi lebih tinggi pada RM5.3 juta. – BERNAMA











