Universiti Limkokwing, UNESCO bekerjasama dalam bidang pendidikan - Utusan Malaysia

Universiti Limkokwing, UNESCO bekerjasama dalam bidang pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 21 Mei – Universiti Limkokwing menerusi Yayasan Orang Kurang Upaya Limkokwing bekerjasama dengan Institut Teknologi Maklumat dalam Pendidikan (IITE) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi meneroka penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) baharu dalam pendidikan.

Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, kolaborasi tersebut melibatkan pendidikan khusus kepada pelajar golongan orang kurang upaya (OKU).

“Kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penyelidikan serta menguji teknologi canggih termasuk alat interaktif, alatan dalam talian serta teknologi bantuan untuk meningkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan golongan terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu kerjasama tersebut turut melibatkan projek baharu iaitu ‘ICT for University Assessibility Network’ yang menumpukan penglibatan sosial golongan tersebut dalam masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Raja Aznil berkata, tumpuan kolaborasi tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG Goal 4) untuk pendidikan berkualiti yang mensasarkan akses sama rata di semua peringkat pendidikan dan latihan vokasional, termasuk pelajar OKU.

“Pelajar OKU di universiti ini belajar dalam kelas, dewan dan makmal yang sama dengan pelajar normal yang lain.

“Justeru mereka tidak akan rasa tersisih malah akan menikmati pengalaman belajar setara dengan pelajar lain, cuma perlukan perhatian yang lebih dari tenaga pengajar kerana mereka bertutur menggunakan bahasa isyarat tangan,” katanya.

Setakat ini katanya, seramai 15 pelajar OKU di Universiti Limkokwing yang mengikuti pengajian dalam lima bidang pengajian antaranya multimedia kreatif, reka bentuk digital dan kandungan digital.

“Kerjasama ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pelajar golongan OKU yang aktif menyertai masyarakat secara sosial,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini