ALOR SETAR 5 Mei – Seorang pengawal keselamatan terkejut selepas menemukan seekor ular sawa batik di dalam sebuah stor penyimpanan gas makmal di sebuah sekolah menengah di Pokok Sena di sini, semalam.
Kelibat ular sawa sepanjang tujuh meter dengan berat kira-kira 25 kilogram itu disedari pengawal keselamatan tersebut ketika dia membuat rondaan di sekitar kawasan sekolah, kira-kira pukul 10.15 malam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, reptilia itu dipercayai masuk ke dalam stor sekolah itu selepas dikatakan mengejar seekor biawak.
“Pusat kawalan operasi daerah Padang Terap menerima panggilan berhubung penemuan ular itu daripada seorang guru, Nazri Ahmad, 52, pada pukul 10.23 malam.
“Sebaik sahaja anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi, didapati seekor ular sawa berada di dalam stor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, empat orang anggota APM diketuai Koperal (PA) Mohd. Rizal Ali mengambil masa selama 45 minit untuk menangkap ular tersebut kerana reptilia itu agak agresif selain berada di tempat yang sukar untuk ditangkap.
“Ular sawa batik ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











