KOTA BHARU 8 Mei – Semua pihak diminta menunggu penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin mengenai arahan kepada pemilik kedai makan dan restoran supaya menutup premis perniagaan mereka dari pukul 8.30 malam sehingga 10.00 malam sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Mejar (B), Md. Anizam Abd. Rahman berkata, Dr. Izani adalah Exco yang tepat untuk menjawab persoalan yang timbul berikutan arahan yang baru dikeluarkan kelmarin itu.
Md. Anizam berkata, beliau mengakui terdapat kesan positif dan negatif daripada arahan tersebut serta tidak pasti bagaimana impak terhadap sektor pelancongan.
“Wallahu a’lam, ini pertama kali arahan sebegini dibuat, mungkin ada kebaikan, ada positif dan negatif.
“Saya rasa eloklah Exco (Dr. Izani) ulas kerana perkara berkaitan premis perniagaan di bawahnya,” katanya selepas melancarkan Souq Ramadan di Hotel Perdana di sini semalam.
Sejak kelmarin, tular surat arahan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya premis makanan ditutup sementara selama sejam 30 minit bermula dari pukul 8.30 malam bagi menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat tarawih. UTUSAN ONLINE











