SEREMBAN – Suasana di sebuah klinik swasta di Bandar Ainsdale dekat sini gempar seketika apabila satu unit alat pemantau tekanan darah di klinik swasta itu pecah pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu menyebabkan doktor dan tujuh kakitangan klinik itu bertindak keluar dari premis tersebut kerana khuatir terdedah kepada pencemaran merkuri.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 11.35 pagi.
“Kami tiba di lokasi pada pukul 11.45 pagi. Seramai lapan anggota termasuk daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikerahkan memberi bantuan.
“Pasukan bomba mengambil masa kurang 10 minit bagi membersihkan tumpahan merkuri tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Syazwan berkata, bomba difahamkan kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas doktor di klinik itu membuat rawatan dan pemeriksaan keatas pesakit.
Menurutnya, semasa doktor berusia 37 tahun itu mahu membuka alat pemantau tekanan darah, alat itu tiba-tiba pecah diatas mejanya.
Kata beliau, doktor itu kemudian memanggil pembantunya dan meminta semua kakitangan klinik tersebut meninggalkan premis itu.
“Kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya. – K! ONLINE











