KUALA PILAH 1 Mei – Tujuh orang cedera selepas dua buah kereta terlibat dalam kemalangan di Jalan Senaling-Kampung Bemban dekat sini hari ini.
Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.40 petang membabitkan sebuah kenderaan jenis Nissan Navara dan Proton Wira.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Khairul Anuar Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.44 petang.
“Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian dan tiba dalam tempoh 10 minit.
“Kami mendapati tujuh mangsa kemalangan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita,” katanya di sini.
Menurutnya, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











