Ramai yang gemar memilih kereta buatan Jepun dan Eropah berbanding negara lain kerana merasakan mereka lebih baik dalam menghasilkan kenderaan berkualiti.
Telahan itu pasti berubah apabila anda duduk sebagai penumpang atau memandu sendiri kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C, Hyundai Tucson 1.6 Turbo yang dipertingkat.
Sekali pandang, gaya dan fizikalnya berbeza berbanding SUV lain yang sama dalam kelasnya kerana gayanya yang lebih premium dan elegan. Saiznya yang sedikit besar memberikan tanggapan ia kurang berkuasa.
Setelah mencuba ternyata tanggapan itu meleset. Prestasi enjinnya berada dalam kelas tersendiri. Perubahan kosmetik turut menjadikan Tucson 1.6 Turbo yang dipertingkat tampil lebih kemas sama ada dari aspek luaran dan dalaman.
Luaran
Sesuai dengan sentuhan facelift yang diberikan, jentera ini masih mengekalkan reka bentuk badan yang hampir sama seperti generasi terdahulu dengan beberapa perubahan kecil pada bahagian depan dan belakang.
Gaya luaran Tucson 1.6 Turbo yang dipertingkat sangat menawan apabila kemasan krom yang mengelilingi gril dan logo Hyundai yang besar pada bahagian hadapan menjadikan wajahnya seperti sebuah kereta mewah. Kemasan krom itu juga direka semula dengan sisi lebih tajam.
Ia didatangkan dengan dua projektor lampu utama diod pemancar cahaya (LED) manakala lampu nyalaan siang (DRL) LED yang berada di bawah lampu kabus menyerlahkan visual SUV ini dari jauh. Selain itu, terdapat juga pemegang pintu krom dengan pencahayaan LED poket.
Varian turbo menggunakan rim aloi bersaiz 17 inci dengan tayar 225/60 R17. Berbanding dengan Tucson 2.0 Elegance, pintu kargo belakang dilengkapi dengan sistem pintar yang membolehkannya dibuka dengan menekan butang atau mengesan kehadiran pemandu apabila berada berdekatan.
Dalaman
Ruang dalam Tucson 1.6 Turbo yang dipertingkat menggabungkan dua tona warna iaitu cerah dan gelap bagi memberikan ilusi yang luas ketika berada di dalamnya. Kerusi, stereng dan penutup tombol gear dibaluti kemasan kulit memberikan rasa premium.
Bagaimanapun, kemasan kulit Nappa pada stereng terasa licin sehingga mudah terlepas pegangan. Butang kawalan yang terdapat pada stereng dan papan pemuka juga tidak terlalu kompleks dan mudah dicapai.
Kluster meter 4.2 inci TFT LCD mudah dibaca dengan paparan maklumat ringkas kenderaan. Sistem penyaman udara dua zon automatik memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang untuk memilih suhu yang sesuai mengikut kemahuan masing-masing.
Corong udara menerima rekaan baharu selain terdapat dua corong udara untuk penumpang belakang. Tempat duduk pemandu berkuasa membolehkan pelarasan dilakukan dengan mudah.
Sistem audio yang menggunakan jenis timbul (floating) bersaiz tujuh inci memberikan paparan yang jelas walaupun ketika waktu tengah hari yang terik. Sensitiviti skrin sentuh sangat responsif dan sambungan telefon pintar juga lancar.
Pedal minyak pada Tucson 1.6 Turbo yang dipertingkat direka agak panjang berbanding model-model lain. Apa yang menarik terdapat tempat meletak kaki kiri yang seolah-oleh seperti pedal untuk memberikan keselesaan ketika memandu terutama jarak jauh.
Prestasi
Memandu kenderaan yang dilengkapi turbo sememangnya memberi keterujaan setiap kali menekan pedal minyak. Tucson 1.6 Turbo menawarkan pecutan yang pantas dan lancar setiap kali hendak memotong kenderaan lain atau yang mahu menguji tahap adrenalin pemandu.
Pemanduan terasa santai pada kelajuan 130 kilometer sejam (km/j). Stereng juga terasa ringan tanpa memerlukan banyak usaha mengawalnya.
Prestasi enjin gamma 1.6 T-GDi Turbo tidak mengecewakan apabila mudah memecut untuk mendapat kelajuan yang diinginkan. Peningkatan kelajuan juga begitu pantas.
Fizikal Tucson 1.6 Turbo boleh dikatakan agak besar, namun ia tidak memberi sebarang masalah ketika mengambil selekoh. Saiznya yang lebar membantu jentera berkenaan kekal stabil tanpa terasa badan ditarik mengikut arah selekoh.
Ruang kabin yang senyap dengan penembusan bunyi minimum menambahkan lagi keseronokan memandu. Rekaan kerusi yang selesa ditambah sistem suspensi yang baik mengurangkan gegaran ketika melalui jalan yang tidak rata atau berbatu.
Secara keseluruhannya, Tucson 1.6 Turbo memberikan pengalaman pemanduan yang terbaik kepada pemandu. Prestasi enjin, kawalan, rekaan dalaman dan luaran tidak mengecewakan. Kepada yang gemarkan keseronokan pemanduan santai dan pecutan, jentera ini merupakan pilihan ideal.
Enjin
Gamma 1.6 T-GDi Turbo
Kuasa maksimum
177 PS pada 5,500 rpm
Daya kilas
265 Nm pada 1,500 rpm hingga 4,500 rpm
Transmisi
Tujuh kelajuan dual klac
Harga atas jalan
RM143,888 (tidak termasuk insurans)
Tucson 1.6 Turbo











