LONDON 11 Mei – Maurizio Sarri memberi bayangan bahawa trofi kejuaraan dalam musim pertamanya bersama Chelsea tidak mampu untuk mengekalkan Eden Hazard di Stamford Bridge.
Hazard menjaringkan gol kemenangan semasa penentuan penalti ketika menundukkan Eintracht Frankfurt dalam separuh akhir Liga Europa sekali gus mempertemukan mereka dengan Arsenal pada 29 Mei ini.
Kedudukan Sarri pada awal musim kelihatan tidak stabil namun bekas pengendali Napoli itu berjaya mengesahkan kedudukan empat teratas liga selain membawa Chelsea kepada final Piala EFL yang menyaksikan mereka tewas kepada Manchester City.
Sarri bagaimanapun sedar, kejayaan di Liga Europa belum cukup untuk mengekalkan Hazard yang sedang dikaitkan dengan Real Madrid.
“Saya tidak tahu. Jika akan memikirkan tugasnya di sini sudah selesai, ia bermakna semuanya sudah berakhir.
“Saya boleh cuba bercakap dengannya tetapi bukan mudah. Memang saya mahukan Hazard tetapi saya mahukan Hazard pada kedudukan motivasi tertinggi.
“Seperti semua tahu, saya bukan individu yang mengawal pasaran pemain. Saya juga tidak bertanggungjawab mengenai kontrak pemain, jadi saya tidak boleh jawab perkara ini.
“Saya boleh bercakap dengan pemain seperti seorang bapa, bukan sebagai pengurus. Jika saya bercakap dengannya, saya tidak akan beritahu awak semua mengenainya kerana ini adalah isu anak dan bapa,” kata Sarri.-AGENSI











