Tribunal Rayuan Persaingan percepat proses rayuan kes persaingan - Utusan Malaysia

Tribunal Rayuan Persaingan percepat proses rayuan kes persaingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka Bilik Pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) bagi mempercepatkan proses rayuan melibatkan kes persaingan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kewujudan bilik pendengaran itu selaras dengan fungsi dan peranan TRP yang mempunyai bidang kuasa inklusif untuk mengkaji semula sebarang keputusan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia mengikut Seksyen 35, 39 dan 40 Akta Persaingan 2010.

Jelasnya, kewujudan TRP juga perlu kerana bilangan penyiasatan kes persaingan oleh pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah berterusan dan bertambah dari semasa ke semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menjangkakan kes rayuan yang difailkan di TRP akan meningkat berdasarkan tindakan yang diambil oleh MyCC terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya yang melibatkan jumlah penalti yang besar iaitu RM213.45 juta.

“Selain itu, TRP juga akan mendengar kes penipuan bidaan yang melibatkan lapan syarikat yang berpakat secara sulit bagi mendapatkan kontrak dalam perolehan awam,” katanya pada sidang akhar selepas merasmikan Bilik Pendengaran TRP di tingkat lima bangunan KPDNHEP di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya, pembukaan bilik pendengaran itu juga dapat menjimatkan kos pihak kementerian ekoran sebelum ini KPDNHEP terpaksa menyewa premis lain untuk pendengaran kes yang difailkan.

Jelasnya, selain itu, Bilik Pendengaran TRP juga memberi keselesaan kepada Panel Pendengar Rayuan dan pihak lain yang terlibat dalam kes rayuan itu.

“Meskipun TRP ditempatkan di kementerian ini, sebarang keputusan yang ditentukan dalam pendengaran itu tidak melibatkan sebararng campur tangan KPDNHEP.

“Visi TRP untuk memberi keadilan kepada setiap pihak yang terlibat dalam rayuan dan dapat menjadi satu forum penyelesaian pertikaian yang berkesan,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini