GEORGE TOWN 2 Mei (Bernama) — Tourism Malaysia menyediakan sebanyak 3,000 pakej durian kepada orang ramai termasuk pelancong sempena kempen Pakej Durian “Kembali Atas Permintaan” – Makan Durian Sebanyak Yang Anda Mahu @ Dusun 8321, Balik Pulau”.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini berkata usaha itu melibatkan jalinan kerjasama dengan Asia Gateway Tours dalam usaha mempromosikan durian Pulau Pinang.
“Kempen ini bermula 6 Mei sehingga 6 Ogos 2019 yang turut melibatkan sokongan Air Asia Berhad dan beberapa buah hotel terpilih di Pulau Pinang. Hari ini sahaja Tourism Malaysia menjual kepada 800 pengunjung walaupun kempen ini belum bermula,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan kempen berkenaan di sini.
Katanya pakej durian yang ditawarkan termasuklah Buffet Durian bermula dari RM66 bagi dewasa dan RM36 bagi kanak-kanak, pakej dua hari satu malam dari RM186 seorang dan pakej tiga hari dua malam dari RM366 seorang dengan tempahan minima empat orang bagi setiap pakej.
“Pelancong yang membeli pakej ini juga boleh menikmati durian di lokasi yang beralamat 8321, Durian Plantation di Balik Pulau,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar berkata Tourism Malaysia menyasarkan pulangan bagi pakej jualan itu menjangkau RM300,000 sepanjang promosi berlangsung.
“Kita juga sasarkan pelancong dari China, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan juga Singapura untuk turut serta dalam kempen ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara,” katanya.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata sebagai bonus tambahan, pembeli pakej juga berpeluang memenangi tiket penerbangan sehala dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang ke Johor Bahru dan Pulau Pinang ke Melaka.
“Pembeli juga akan menerima diskaun tambahan 10 peratus ke atas sebarang pembelian Pakej Durian dengan menunjukkan pas masuk Air Asia sepanjang tempoh promosi ini,” katanya.
– BERNAMA











