PETANG berbuah musibah di Kubang Kerian. Berbinar dan memijar. Riuh bergemuruh suara penjudi dan penyabung lembu laga dan ayam sabung. Atap rumbia di sederetan rumah kampung menggerisik, api menyala tiba-tiba. Riuh rendah itu diikuti amuk, bertikam-tikaman. Berdarah-darah sambil memekik dan melolong. Yang kalah mengamuk. Di langit berdentang kilat dan petir umpama pedang bersilang. Rumah-rumah digeriap api merah dan menghitam. “Api! Api! Rumah terbakar!” Ada yang menyimbah air. Makin disimbah, makin merebak dalam setengah jam hanya tinggal tompokan hangus, tiang dan pasak hitam.
“Rumahku! Rumahku!” para penjudi, penyabung meratap, melolong memukul-mukul dada. “Ya Allah, ampuni hamba!”
Masin sungguh Tok Kenali menyumpah. Dia sungguh terganggu dengan sikap para penjudi, penggocoh dan penyabung. Mereka membuat onar sejak lama. Mohon Tuhan tunjukkan sesuatu: “Biar rumahnya terbakar!” terlompat kata-kata itu. Nah, kun fayakun Allah.
Sejak kecil lagi Awang itulah sebutan manja ayah ibunya terhadap putera tercinta. Awang jadi sebutan di mana-mana. Dalam umur lapan tahun sudah fasih membaca al-Quran. Dia sudah boleh menulis membaca. Sampailah khabar itu ke telinga Datuk Penggawa. Dia minta izin daripada Pak Ahmad untuk dijadikan Awang jurutulis hal ehwal pertanian di mukimnya.
“Mana yang molek bagi Tok, moleklah bagi hamba!” jawab bapa Si Awang. Ibunya turut akur.
Nama asli Awang, Muhammad Yusof Ahmad. Dia lahir pada tahun 1868 di zaman Sultan Muhammad 11 (1837-1886). Tidak tercatat tarikh dan bulan kelahiran Awang. Bapanya, Ahmad seorang petani biasa. Ibunya, Fatimah Salleh dikenali sebagai wanita yang bersopan santun tapi bercita-cita tinggi untuk Si Awang. Ahmad meninggal waktu umur Awang lima tahun. Kemudian diambil oleh datuknya, Salleh (Pak Leh) dan neneknya Ruqayah Mahmud atau Tok Mek Ngah. Pak Leh warak dan hidup sederhana ke jalan Allah. Dia dan isterinya menjaga makanan yang haram dan sumber yang subahat.
Awang atau Muhammad Yusof dimasukkan ke Sekolah Pondok di Masjid al-Muhammadi berguru dengan Tuan Haji Wan Ismail, Encik Idris, Tuan Guru Haji Ibrahim Penambang, Syeikh Muhammad Ali Abdul Rahman (Wan Ali Kutan) dan Tuan Guru Padang (Haji Ahmad) Kota Bharu. Di Masjid besar itu dia menuntut bahasa Arab, Nahu dan Saraf.
“Ingin benar hamba sambung ngaji di Mekah!” katanya kepada rakan sepengajian dan guru-gurunya. “Tapi, mana hamba nak cari pitih!” sambungnya lagi bersedih. Waktu itu usia Awang sudah 18 tahun. Cita-citanya membara. Dengan bantuan para sahabat dapatlah 50 ringgit.
Dengan susah payah dia menumpang kapal pada tahun 1887 (1305 H) menuju Mekah. Ada dugaan dalam pelayaran. Kapal itu mengalami kerosakan. Selepas pulih kembali sampai juga Muhammad Yusof ke Mekah. Wangnya dihematnya dia bertunggu tangga di Masjidilharam. Untuk membeli kitab tidak terdaya. Kini dia menjadi pelajar yang tekun mendengar syarahan tuan gurunya.
Bagi menampung kewangan, dia menjadi tukang masak bagi orang yang berkelah di wadi-wadi yang banyak di Mekah. Syarahan Syeikh Wan Ahmad Muhammad Zain ditekuninya. Ini ulama Patani yang tersohor selepas Syeikh Muhammad Daud Fatani. Dia juga mendengar syarahan dan kuliah yang ada di Masjidilharam. Dan pada tahun 1904 Muhammad Yusof berangkat ke Mesir, melawat sambil belajar di Al-Azhar, Kaherah. Selepas itu kembalilah dia ke tanah air. Kini tugas yang penuh mencabar menanti di negerinya Kelantan yang dikenal sebagai Serambi Mekah.
Kini Awang atau Muhammad Yusof Ahmad mula dikenali sebagai Tok Kenali. Dia dikenal sebagai pembangun pemikiran umat di Alam Melayu.
Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama. Tulisannya disiarkan Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Tulisannya turut dimuat dalam Majalah Al-Hikmah. Dia membawa reformasi dengan pengaruh pemikiran ulama agung Al-Ghazali (1058-1111) yang akarnya adalah al-Quran dan Hadis.
Tok Kenali secara kebetulan sezaman dengan ulama Muhammad Abduh (1849-1905) yang berjiwa maju, waktu menuntut di Mekah dan di Mesir. Rangkaian pemikiran mereka mencakupi kehidupan, ilmu pengetahuan, agama, politik, sosial dan ekonomi.
Warisannya Kitab Tok Kenali Mengenali Diri itu mencengkam pembaca dan muridnya di Nusantara Melayu Raya dan di Kelantan khasnya. Ilmu ini dikenal juga namanya dengan Ilmu Tok Selehong yang juga diarifi oleh Syeikh Daud Al-Fatani yang diwariskan kepada muridnya Tuan Guru Haji Mohd. Yusof Cik Wook.
Ilmu Mengenali Diri bagi mengenali Tuhan Pencipta ini memanglah bukan ilmu hisab secara dua campur dua jadi empat. Malah dia bertentangan dengan ilmu Sains biasa. Ilmu ini dikenal dengan nama Menyeberang Sempadan dan berhadapan dengan ‘lautan hairan’ yang melampaui akal yang terbatas. Insan akan membaca Rahsia Ilmu, di sebalik huruf dan ilmu di sebalik ‘rasa’ bagi menyingkap ‘Tabir Allah di Lautan Ghaib.’
Kitab Makrifat ini pengembaraan Ilmu Kalam menuju Binasa, Fana, Baqa, Zuk, dan pengembaraan Kalam menuju Ilmu Rasa yakni Ilmu Penamat segala pencarian, penyuluh kalam makrifat kepada Allah Taala. Kata Tok Kenali: “Penyuluh di dalam terang, mata mencari kening, api mencari cahaya, masin mencari garam, ilmu mencari barang yang tidak hilang. Dikejar semakin jauh, dipanggil sayup. Digali semakin dalam dilihat semakin ghaib. Lemah akal daripada berkata-kata.” Bagi Tok Kenali `Guru itu adalah rohani diri sendiri’.
Ada Doa Tok Kenali yang ditinggalkannya untuk kita semua: “Wahai Tuhan, sesungguhnya saya pohon pada Engkau, pemberiannya sempurna, kehebatan yang berkekalan, rahmat yang menyeluruh, dan kesegaran yang berguna. Saya pohonkan daripada Engkau puncak kesenangan hidup, puncak kebahagiaan umur, kesempurnaan kebaikan, juga keluasan pemberian dan kesopanan yang lebih berfaedah.”
Tok Kenali suka berjalan untuk melenyapkan rasa sombong, beriktikaf berbantalkan lengan dan memakai pakaian sederhana. Ada yang diabadikan untuk jasanya yang tidak ternilai antaranya Masjid Tok Kenali. Dia benci kepada perokok.
Sebuah Syair Tok Kenali dikarangnya untuk perokok tegar: Perokok itu terhina dungu, membazir dan keji. Kerendahan bagi penghisap, pasti darinya meruap kentut yang busuk dan diluati. Kepulan asap dari bibirnya mengasapi mulia dana peribadi.
Tok Kenali Ulama yang kasyaf dan unggul Alam Melayu ini kembali ke rahmatullah pada 4 Disember 1933 dalam suasana hiba oleh 2,500 pencintanya. Solat jenazah disempurnakan oleh 1,000 orang dan dikebumikan di Perkuburan Jalan KM 5, Pasir Putih, Kota Bharu.
Tok Kenali suka berjalan untuk melenyapkan rasa sombong, beriktikaf berbantalkan lengan dan memakai pakaian sederhana. Ada yang diabadikan untuk jasanya yang tidak ternilai antaranya Masjid Tok Kenali.











