MELAKA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka bersedia untuk mengadakan sesi dialog bersama pengguna Meter Pintar berkenaan isu kenaikan bil elektrik selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, setakat ini pihaknya telah mengadakan Hari Bersama Pelanggan di TNB Banda Kaba di sini bagi menyelesaikan masalah berhubung perkara itu sejak semalam.
Katanya, sambutan yang diterima pada program tersebut amat menggalakkan dengan pelbagai cadangan dikongsikan oleh pengguna termasuk mengadakan sesi dialog.
“Sepanjang kaunter dibuka sejak semalam sehingga 2 petang ini sebanyak 680 aduan dan cadangan penyelesaian berhubung kenaikan bil elektrik diterima.
“Melihat sambutan yang menggalakkan ini, kita rancang untuk meneruskan program ini selepas Hari Raya Aidilfitri dan mungkin sesi dialog turut akan diadakan pada masa tersebut bergantung kepada situasi,” katanya ketika ditemui di TNB Banda Kaba, di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, daripada jumlah aduan itu, 80 berjaya diselesaikan secara terus dan hampir 280 aduan memerlukan tindakan lanjut termasuk pemeriksaan jangka di rumah masing-masing.
Katanya, kebanyakan pengguna yang hadir tidak memahami kiraan Meter Pintar tersebut dan penerangan lanjut telah diberikan oleh kakitangan TNB untuk membantu meningkatkan kefahaman pengguna. – K! ONLINE











