KUALA LUMPUR 1 Mei – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim cuba menenangkan bondanya yang tertekan dan gusar kerana ada pihak yang mencerca, memerli dan menjadikan anakanda-anakandanya sebagai bahan hiburan pada waktu ini.
Tunku Ismail memberitahu, bondanya juga tidak perlu gusar dengan perkara yang terjadi sejak kebelakangan ini termasuk membabitkan kedudukan anakanda-anakandanya di Istana Johor.
Beliau malah bertitah, segala-galanya yang berlaku dijanjikan menjadi lebih baik suatu hari nanti.
“Jangan risau Mama. Segala-galanya akan baik sahaja. Tidak kira betapa gelapnya ribut melanda, ia akan sentiasa ada sinar mentari. Ini janjiku kepadamu, wahai ibuku. Allah Peliharakan Sultan,” katanya menerusi status dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Tunku Ismail berkata sedemikian bagi merujuk status Facebook bondanya yang tertekan dan gusar dengan tindakan sesetengah pihak yang terang-terangan mencerca, memerli dan menjadikan anakandanya sebagai bahan hiburan.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berkongsi status Facebook berkenaan hari ini bagi menzahirkan rasa dukanya terhadap pihak yang tidak menghormati keluarganya.
Antara perkongsian Raja Zarith Sofiah adalah mengenai perasaannya sebagai seorang ibu terhadap anak yang dihina dan dikeji.
“Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas terakhir dan melihatnya dikebumikan, mungkin tidaklah salah jika saya rasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli dan dijadikan sebagai hiburan untuk semua yang memikirkan mereka lebih bijak dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun.
“Kepada mereka, saya berdoa semoga Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayahnya dan kepada mereka yang memberi nasihat kepada anak-anak saya, saya mengucapkan terima kasih dengan hati yang ikhlas,” titah Permaisuri Johor itu lagi. – UTUSAN ONLINE











