BINTULU 29 Mei – Tiga wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Jalan Pesisir Bintulu-Miri dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu, kesemua mereka maut di lokasi.
Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, Azman Johari berkata, ketiga-tiga mangsa yang dikenal pasti sebagai Gensa Unggau, 36, Nuai Bakar, 23, dan Lengidi Koling, 57.
“Setiba sahaja pasukannya di lokasi kejadian mendapati terdapat sepuluh mangsa di dalam sebuah kenderaan sebuah pacuan empat roda (4WD) Toyota Fortuner membabitkan lapan dewasa dan dua kanak-kanak.
“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan kesemua tujuh mangsa yang cedera dihantar ke hospital Bintulu,” katanya di sini hari ini.
Tambah Azman, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba juga turut menghantar seorang mangsa ke hospital Bintulu manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.-BERNAMA











