KUALA LUMPUR 16 Mei – Polis menahan tiga individu termasuk seorang warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam memberi sokongan kepada kumpulan Daesh untuk merancang dan melancarkan serangan dalam negara dan di Indonesia.
Difahamkan, kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) di sekitar Kedah dan Lembah Klang pada 14 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan pertama dilakukan di Kuala Muda, Kedah melibatkan dua lelaki tempatan iaitu Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan, masing-masing berusia 27 tahun.
“Muhammad Syazani bekerja sebagai penjual burger manakala Muhammad Nurul pula bekerja sebagai pekebun dan kedua-dua mereka ditahan ketika menyerah diri hasil kerjasama daripada keluarga masing-masing.
“Dua individu tersebut juga pernah menjalani latihan membuat bom di Jogjakarta, Indonesia pada 2018 yang dikendalikan oleh kumpulan pengganas Jemaah Anshurat Daulah Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Hamid, kedua-dua mereka juga telah mempelajari kaedah untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh digunakan untuk letupan berskala besar dan bom kenderaan.
Jelasnya, suspek juga dikesan melakukan tinjauan ke beberapa gereja di sekitar Jogjakarta, Indonesia untuk diserang dan rumah ibadat bukan Islam dalam negara dengan menggunakan kaedah serangan bom diri.
“Tangkapan kedua pula melibatkan seorang lelaki warga Indonesia, Nuruddin Alele atau dikenali Fatir Tir, 34 tahun yang juga terlibat dalam rancangan untuk melakukan operasi pembunuhan dan serangan ke rumah ibadar bukan Islam.
“Suspek terdedah dengan ideologi Daesh ketika menjalani hukuman penjara lima tahun di Surabaya, Indonesia,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)- UTUSAN ONLINE











