Tiga beranak dalang penyeludupan manusia diberkas - Utusan Malaysia

Tiga beranak dalang penyeludupan manusia diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 24 Mei – Jabatan Imigresen Perak menumpaskan sindiket penyeludupan migran ke Eropah menggunakan laluan di sempadan Pengkalan Hulu-Betong dengan tertangkapnya tiga beranak yang disyaki dalang utama sindiket berkenaan.

Pengarahnya, Kamaluddin Ismail berkata, turut diberkas dalam operasi selama empat hari bermula Isnin lalu itu ialah tiga anggota polis, seorang berpangkat sarjan dan dua konstabel yang bertindak sebagai pengatur dan ejen pengangkut migran warga India.

Katanya, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 10 tahun lalu itu menjadikan laluan di Pengkalan Hulu sebagai jalan keluar ke Thailand untuk transit sebelum berlepas ke Eropah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek utama tiga beranak iaitu lelaki warga India berusia 58 tahun dan isterinya yang merupakan wanita tempatan serta anak lelaki mereka diberkas semalam di sebuah hotel di Baling, Kedah.

“Tangkapan terhadap ketiga-tiga mereka itu susulan penahanan 44 lelaki dan seorang wanita yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dalam serbuan berasingan di kaunter kawalan serta hotel dan inap desa di sekitar Pengkalan Hulu dan Baling,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan mendapati, modus operandi sindiket berkenaan ialah apabila PATI yang ingin keluar dari negara ini secara haram akan berhubung dengan pasangan suami isteri tersebut.

Jelasnya, pasangan itu kemudiannya bertindak mencari orang awam sama ada polis mahupun penjawat awam lain untuk membawa PATI terbabit keluar melalui sempadan negara ini ke Thailand.

“Tiga anggota polis yang ditahan itu berperanan sebagai pengatur dan ejen pengangkut dimana mereka akan membawa masuk kereta melalui sempadan dan semasa pemeriksaan hanya menurunkan cermin hadapan sahaja.

“Penyeludupan itu disyaki berlaku pada waktu pagi semasa anggota terbabit memulakan tugas dan mereka yang memandu kereta bercermin gelap tidak menurunkan cermin belakang yang terdapat PATI di dalamnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini