KUALA LUMPUR 28 Mei- Tiga beradik ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dalam serbuan di sebuah rumah di Lundu di Kuching, Sarawak semalam.
AADK dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga adik-beradik lelaki yang lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan dalam operasi kira-kira pukul 8 pagi hingga 10 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka disahkan positif dadah jenis syabu.
“Turut ditahan seorang wanita iaitu isteri kepada seorang suspek yang juga positif dadah jenis sama.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, oang ramai yang mempunyai maklumat berlaku aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan kepada AADK di talian 03-89112233 atau menghantar pesanan melalui WhatsApp ke 019-6262233.-UTUSAN ONLINE











